KITA PASTI DAPAT MENGHARUNGINYA

Saturday, March 11, 2017

SUMBER: Ayman Rashdan Wong


KITA PASTI DAPAT MENGHARUNGINYA
Saya dah pernah kata, segila-gila Korea Utara pun tetap sebuah aktor yang rasional dalam hubungan antarabangsa ("escalation of conflict" adalah sejenis strategi). Tiada sebab bagi Korea Utara menembak Malaysia atau mencederakan rakyat Malaysia di Pyongyang. Kim Jong-un dan geng mahu anda percaya mereka itu gila, supaya mereka berjaya "blackmailing" dan "psycho" kita. Ini adalah sebuah tarik tali diplomasi ("diplomatic tussle") yang akan berakhir dengan kompromi.
Kalau status Korea Utara sebagai negara nuklear adalah alasan untuk kita mengalah dalam tarik tali diplomasi ini, maka tak perlulah kita menentang Apartheid dulu kerana Afrika Selatan telah mempunyai keupayaan nuklear pada 1980-an, dan tak perlulah kita membela Palestin kerana Israel adalah sebuah negara bersenjata nuklear.
Komen yang menyifatkan keputusan Malaysia mengisytiharkan "persona non grata" ke atas Duta Korea Utara sebagai "idiotic" dan "tunjuk hero" umpama satu penghinaan ("insult") secara kolektif ke atas institusi yang bernama Wisma Putra (Kementerian Luar Negeri Malaysia). Ini bukan keputusan YBFM seorang, bukan keputusan YABPM seorang, ini adalah keputusan usaha sama Wisma Putra. Faham dulu bagaimana keputusan dibuat dalam kerajaan. Atau sekurang-kurangnya memahami beberapa prinsip-prinsip asas dalam undang-undang antarabangsa seperti timbal balas ("reciprocity" atau "tit-for-tat" – ada yang menganggap larangan warga Korea Utara meninggalkan Malaysia "macam kanak-kanak").
Wisma Putra mempunyai maklumat dan perisikan ("intelligence") yang cukup untuk bertindak. Cuba memahami "what is at stake" dalam isu ini. Ia bukan sekadar soal maruah, tetapi soal keselamatan jua: suspek pembunuhan Kim Jong-nam masih bersembunyi dalam Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur. Mereka mungkin membawa bahan beracun VX yang bahaya. Ratusan rakyat Korea Utara berkeliaran di Kuala Lumpur dan bakal mengancam keselamatan Malaysia, bila-bila saja. Apa yang bakal terjadi, kalau Malaysia tidak tegas dalam hal ini? Apa yang bakal terjadi, kalau Duta Korea Utara bersifat tidak bekerjasama dalam hal seserius ini?
Ingat pengalaman 44 tahun berurusan dengan Pyongyang tidak cukup bagi Malaysia membuat keputusan yang tepat? Saat anda menghina kebolehan Wisma Putra, anda juga menghina bangsa diri sendiri, iaitu Bangsa Nusantara yang terkenal dengan kehebatan berdiplomasi. Diplomasi adalah kekuatan kita. Parameswara membina empayar melalui diplomasi. Sejak Kementerian Luar Negeri ditubuhkan pada tahun 1957, apakah jenis cabaran yang tak mampu diatasi oleh para diplomat Malaysia? Apa, pemimpin sekarang tak sehebat Tun M? Siapa Menteri Pertahanan zaman Tun M? Siapa Menteri Luar zaman Tun M?
"Alah… hang PTD, mestilah sokong kerajaan. Nama pun macai!"
Betul, sebab saya seorang PTD lah saya faham apa yang tengah dirasa mereka di Pyongyang dan mereka di No. 1 Jalan Wisma Putra. Anda boleh buat lawak, boleh troll, boleh mengeluh apa saja yang anda tak puas hati dengan kerajaan, tapi bagi kami para PTD, krisis sebegini hanyalah sebahagian daripada lumrah kehidupan kami yang berlandaskan motto "Saya Yang Menurut Perintah".
Jangan anda menzalimi para PTD yang menerajui Wisma Putra, yang bekerja siang malam demi negara yang tercinta. Ada yang meninggalkan keluarga, ada yang mengorbankan kebahagiaan diri. Tidak semua ditempatkan di London, Paris atau New York, lebih banyak di kalangan mereka perlu meredah kesusahan di negara-negara Dunia Ketiga yang bahaya dan mundur, di Mali, di Suriname, di Timor-Leste, dan di Korea Utara. Mereka lah yang menjadi simbol persahabatan rakyat Malaysia, mengumpul maklumat dan berada di barisan depan sekali apabila negara diserang secara fizikal atau verbal. Dalam masa 60 tahun yang lalu, mereka lah yang mengukir kejayaan Malaysia sebagai sebuah "Middle Power" yang disegani dan disanjungi di pentas dunia.
Mereka tidak memerlukan kata-kata sinis, tidak memerlukan analisis perasan bagus, tidak memerlukan lawak bodoh. Mereka sudah bersedia untuk semua ini pada hari pertama bergelar sebagai P.T.D. Apa yang diperlukan oleh mereka, 3 orang anggota Pejabat Perwakilan Malaysia (Malawakil) dan 6 orang ahli keluarga mereka, serta 2 orang anggota UN World Food Programme ialah doa dan sokongan moral bagi mereka menghadapi cabaran ini, cabaran yang pasti akan diharungi oleh kita semua. Dan lebih penting, bersatu menentang kebiadapan Korea Utara.
Mari kita berdoa yang baik-baik sahaja kepada diplomat kita di Pyongyang:
(1) Mohd Nor Azrin Md. Zain, Kaunselor,
(2) Mohamad Razak Sabtu, Setiausaha Kedua,
(3) Noor Saidah Jamaludin, Pembantu Peribadi,
dan ahli keluarga mereka.
Sikap pemimpin-pemimpin semua parti politik mengetepikan politik kepartian dalam isu ini adalah amat terpuji.
#Solidariti bersama Malawakil Pyongyang. Have faith in Wisma Putra.
Dalam gambar: buku yang sentiasa menghidupkan keyakinan saya terhadap diplomasi Malaysia. Dulu, kini dan selamanya.


1 comment:

  1. Superb site you have here but I was wondering if you knew of any discussion boards that cover
    the same topics talked about in this article? I'd really love to be
    a part of community where I can get advice from
    other experienced individuals that share the same interest.
    If you have any recommendations, please let me know.
    Thanks a lot!

    Feel free to surf to my blog Https://Www.Youtube.Com/Watch?V=IcULvD638S4

    ReplyDelete